Bersenam dan makan makanan seimbang

Untuk sihat dan kekalkan berat badan, kena amalkan pemakanan sihat disamping senaman yang berterusan.

Bersenam bersama rakan-rakan

Bersenam dan bersukan bersama rakan-rakan lebih menarik dan bersemangat daripada bersenam bersendirian.

Hadiri kelas aerobik dengan tunjuk ajar Instructor bertauliah

Hadiri kelas aerobik dengan tujuk ajar instructor bertauliah akan menjadikan senaman anda lebih teratur dan berkesan.

Mendaftar Di Gym

Jika ada duit lebih, elok juga mendaftarkan diri di Gym kerana disini terdapat kelengkapan senaman yang lengkap dengan penunjukajar dan jurulatih yang bertauliah dan berpengalaman. Anda akan kurus lebih cepat disini.

Berumur tetap amalkan gaya hidup sihat

Walaupun sudah berumur, tetapi ini tidak akan membataskan dan menjadi alasan untuk anda bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Showing posts with label Jenis Penyakit. Show all posts
Showing posts with label Jenis Penyakit. Show all posts

Saturday, September 21, 2013

Tips Elakkan Diserang Sakit Jantung

PENYAKIT jantung sememangnya dikenali sebagai salah satu punca kematian di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat, penyakit ini dikenal pasti sebagai punca utama, selain mencatat jumlah kematian tinggi di Kanada. Malaysia juga tidak terkecuali dan pengambilan makanan yang tidak seimbang disifatkan membuka langkah kepada ramai penduduk negara ini mengalaminya meskipun pada usia muda.  Sebelum menyenaraikan bahan makanan yang perlu dan tidak sepatutnya diambil dalam usaha memastikan diet seimbang, beri perhatian pada satu perkara pastikan jantung sihat dan jantung yang sihat tidak akan dapat berfungsi dengan baik jika sistem organ lain pula bermasalah.

Jantung yang baik dapat memastikan kesihatan tubuh dan minda andai keseluruhan sistem dalaman berfungsi dengan lancar. Sistem saraf, sistem pernafasan, sistem perkumuhan dan saluran darah adalah antara bahagian yang perlu sentiasa dititikberatkan kerana saling berkait rapat dengan keadaan jantung yang sihat.

Pengambilan sayuran yang banyak, selain makanan yang memiliki asid lemak omega-3 serta vitamin C kompleks dalam diet harian sudah memadai bagi mengelakkan diri terlantar di hospital.

Berikut beberapa sumber makanan lain yang baik untuk kesihatan jantung, yang bukan saja murah, tapi mudah didapati:


Emping oat

Mulakan hari anda dengan semangkuk emping oat yang kaya dengan asid lemak omega-3, folat dan kalium. Makanan yang kaya serat ini juga dapat menurunkan kadar kolesterol, di samping membantu mengelakkan arteri daripada tersumbat.

Pilih oat kasar atau organik berbanding dalam pek segera kerana ia mengandungi lebih banyak serat dan tambahkan perisa dengan pisang, kiwi atau strawberi.


Ikan salmon

Kaya dengan asid lemak omega-3, salmon secara efektif membantu mengurangkan tekanan darah dan menghindarkan saluran darah tersumbat. Cuba senaraikan ikan salmon sekurang-kurangnya dua hidangan dalam seminggu, yang mana dapat membantu mengurangkan risiko serangan jantung.

Salmon juga mengandungi karotenoid astaksantin, iaitu antioksidan penuh. Jika bukan peminat salmon, pilih ikan lain seperti tuna, sardin, kembung atau ikan hering.


Avokado

Tambahkan sedikit avokado dalam sandwic atau salad sebagai sumber lemak sihat dalam diet anda. Padat dengan lemak monotaktepu, avokado dapat membantu mengurangkan kolesterol buruk (atau dikenali LDL) sementara meningkatkan jumlah kolesterol baik (dipanggil HDL) dalam tubuh.

Avokado juga membuatkan penyerapan karotenoid lain khususnya beta karotena dan likopena - yang penting untuk kesihatan jantung.


Minyak zaitun

Kaya dengan lemak monotaktepu, minyak zaitun merendahkan tahap kolesterol LDL dan mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.

Keputusan daripada Kajian Tujuh Negara, yang melihat kejadian penyakit kardiovaskular di seluruh dunia, menunjukkan bahawa lelaki di Crete, Greece mempunyai kecenderungan untuk mendapat paras kolesterol tinggi, tapi tidak ramai yang meninggal dunia akibat penyakit jantung kerana diet mereka memberi tumpuan kepada lemak sihat yang ditemui dalam minyak zaitun.

Gunakan minyak zaitun jenis virgin atau extra-virgin dan gunakannya bagi menggantikan mentega ketika memasak.


Kacang

Kacang walnut penuh dengan asid lemak omega-3, selain badam dan kacang makadamia yang sarat dengan mono serta lemak politaktepu.

Selain itu, pengambilan kekacang dapat meningkatkan serat dalam diet. Seperti minyak zaitun, bahan makanan ini adalah sumber besar untuk lemak sihat.

Jadikan pengambilan kekacang sebagai snek berbanding mengambil makanan ringan yang penuh dengan bahan perisa dan pewarna.


Buah beri

Beri biru, raspberi dan strawberi - apa saja yang anda suka - penuh dengan khasiat antiradang yang membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dan barah.
Beri ini juga baik untuk kesihatan sistem pembuluh darah.


Kacang legum

Kacang kuda, dal dan kacang hitam kaya dengan asid lemak omega-3. Selain itu, ia memberikan khasiat kalsium dan serat larut.


Bayam

Bayam boleh membantu mengekalkan degupan jantung normal disebabkan khasiat lutein, folat, kalium dan serat.

Tapi apa jua sayuran dapat memberikan rangsangan pada jantung anda. Kajian Pakar Kesihatan memeriksa lebih 15,000 lelaki tanpa penyakit jantung selama 12 tahun dan mendapati mereka yang makan sekurang-kurangnya dua setengah hidangan sayuran setiap hari berupaya mengurangkan risiko penyakit jantung hampir 25 peratus, berbanding dengan mereka yang tidak mengambil sayuran.

Setiap hidangan tambahan pula mengurangkan risiko sehingga 17 peratus.


Soya

Soya dikatakan membantu mengurangkan kolesterol dan disebabkan ia rendah lemak tepu, ia sumber protein yang baik untuk kesihatan jantung.

Pilih sumber semula jadi soya seperti kacang edamame, tempe atau tauhu organik.
Susu soya pula adalah tambahan yang baik kepada semangkuk emping oat atau bijirin gandung.

Elakkan soya yang diproses kerana mengandungi garam tambahan yang boleh meningkatkan tekanan darah tinggi.

Sumber Artikel : Harian Metro

Thursday, September 19, 2013

Info Pemakanan : Minyak Ikan dan Snek Panggung Wayang

Minyak Ikan Beri Kebaikan Kepada Pesakit Diabetes

Para penyelidik dari Norwegian University of Science and Technology di Norway berjaya menemui kesan supplimen minyak ikan terhadap lipoprotein darah pada 26 orang pesakit diabetes jenis 2. Pesakit yang terlibat dengan kajian ini telah diminta untuk mengambil diantara suplemen  minyak ikan dan juga minyak jagung. Selepas sembilan minggu, saiz dan konsentrasi lipoprotein ini telah diukur. Terbukti pengambilan minyak ikan yang tinggi berjaya mengurangkan saiz dan kepekatan lipoprotein dan dalam masa yang sama merendahkan kepekaan insulin. Hasil kajian ini telah disiarkan secara 'online' di European Journal of Cinical Nutrian pada 28 Februari 2007.

KEJUTAN KALORI : Apakah Yang Terkandung Didalam Snek Panggung Wayang

Bertih jagung sudah dianggap sebagai gandum penuh. Oleh itu, ia turut mengandungi pelbagai khasiat penting termasuklah vitamin B dan serat. Inilah antara snek berkhasiat yang dijual di panggung wayang. Tetapi jika ia disaluti dengan mentega dan karamel, semuanya tidak sesihat yang disangka lagi. Food Guide Pyramid mengandaikan tiga cawan bertih jagung sebagai satu hidangan. Tetapi bertih jagung saiz besar yang sering anda beli dalam set 'value combo' yang mengandungi 170 auns bertih jagung itu mempunyai jumlah sekurang-kurangnya 21 cawan. Dalam kiraan  mudah, kalori yang anda ambil ialah 1500 dan ia masih banyak walaupun anda berkongsi dengan rakan anda!

Monday, October 29, 2012

Apa Yang Kita Makan Tentukan Kesihatan Diri

TIDAK dinafikan setiap individu mahu kesihatan mereka berada pada tahap optimum, sama ada dari segi fizikal atau mental. Namun cara hidup yang semakin pantas, sibuk dan sentiasa mengejar masa menyebabkan ramai hilang fokus hingga mengabaikan diri demi mencapai kejayaan yang bersifat materialistik. Walaupun wang yang dicari, ia bukan penyelesaian kepada segala persoalan hidup dan apabila kesihatan merosot, kualiti hidup juga merudum hingga menyebabkan seseorang itu menjadi murung. Kesihatan mental dan fizikal saling berkait rapat. Kedua-duanya perlu bergerak seiringan kerana sekiranya mental tidak sihat, ia akan memberi kesan negatif kepada fizikal dan begitu juga sebaliknya.

Perangkaan di negara maju seperti Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat menunjukkan kes bunuh diri banyak berlaku. Ini terjadi apabila wujud masalah mental akibat pengurusan minda yang tertutup, harapan tinggi yang tidak tercapai serta tekanan hidup yang mendorong perbuatan negatif itu.

Antara faktor yang menyumbang kepada kes bunuh diri semakin meningkat adalah masalah pengangguran, ekonomi, kemurungan dan tekanan daripada masyarakat sekeliling.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Khaidzir Ismail berkata, minda adalah bahagian yang paling penting pada tubuh dan sekiranya ia tidak dijaga, pemikiran seseorang menjadi bercelaru hingga menyebabkannya gagal mengurus diri serta hidup dengan baik.

Apabila mental menjadi tidak sihat termasuk mengalami tekanan akibat masalah hidup seperti putus cinta, bergaduh dengan rakan atau bercerai, hormon menjadi tidak seimbang hingga ia kelihatan pada kulit.

"Kulit boleh timbul ruam dan kering akibat hormon yang bercelaru disebabkan tekanan pada minda. Kadangkala kita ingatkan kulit kering kerana tidak sapu losen tetapi sebenarnya ia terjadi kerana stres.

"Apabila mental tidak stabil, perubahan pada tubuh dapat dilihat dengan nyata, antaranya fizikal menjadi tidak terurus, rambut kusut atau kulit kering," katanya.

Beliau berkata, sebaliknya juga akan berlaku apabila seseorang gembira dan berfikiran positif, mindanya akan tenang membuatkan hormon menjadi stabil, seterusnya kulit kelihatan cantik dan berseri-seri.

Selain pemakanan yang teratur dan seimbang, kesihatan fizikal seseorang turut mempunyai hubung kait yang rapat dengan mindanya hinggakan pemikiran yang negatif mampu dilihat pada perubahan fizikal yang mungkin menjadi tidak bermaya dan kulit kusam.

Menurutnya, pemakanan turut menyumbang kepada kesihatan diri. Apabila seseorang itu mengambil pemakanan banyak karbohidrat, tubuh akan menjadi lesu fizikal dan ia memberi kesan secara tidak langsung pada minda.

Begitu juga apabila seseorang mengambil makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi dalam diet, ia akan membuatkan diri menjadi terlalu aktif dan mungkin mudah naik marah.

"Makanan sememangnya mempunyai hubung kait dengan kesihatan mental kerana ia memberi kesan kepada kesihatan fizikal. Nutrien makanan seperti zat besi dan protein memberi kesan pada tubuh.

"Setiap makanan yang diambil mempengaruhi tubuh. Oleh itu, untuk mendapat mental yang sihat, pemakanan juga perlu dijaga kerana minda memerlukan zat daripada pemakanan yang disalurkan ke dalam tubuh," katanya.

Dr Khaidzir berkata, seseorang itu perlu menjaga kesihatan mentalnya dalam usaha memelihara kesihatan dirinya secara menyeluruh termasuk mengambil pendekatan sentiasa berfikiran positif walaupun berhadapan dengan cabaran.

Menurutnya, setiap orang perlu mengetahui keupayaan diri masing-masing supaya mereka dapat mengawal diri mereka daripada melakukan perkara tidak sepatutnya.

"Seseorang itu tidak seharusnya suka menyalahkan pihak lain, sebaliknya menerima sebarang dugaan yang datang dengan hati yang terbuka, reda dan tenang kerana ia boleh menjaga kesihatan mental diri mereka.

"Mereka juga perlu tahu kaedah untuk mengawal diri sendiri kerana minda yang tidak tenang akan menyebabkan seseorang berasa penat dan mudah diserang penyakit, mudah meracau selain sukar menerima gurau senda rakan," katanya.

Beliau berkata, minda perlu sentiasa positif dan menerima dugaan serta cabaran hidup dengan hati terbuka, seterusnya membuatkan seseorang memperoleh kesihatan mental yang baik.

Bagi orang Islam pula, mereka perlu menjaga solat dan sentiasa berdoa dalam usaha memperoleh ketenangan diri, seterusnya dapat menjalani hidup dengan lebih gembira.

"Selain positif dan menikmati setiap saat hidup dengan gembira, manusia perlu berkawan dan tidak seharusnya berseorangan. Ini kerana seseorang perlu berkongsi apa yang ada dalam hatinya termasuk susah senang demi minda yang sihat.

"Seseorang juga digalakkan terbabit dalam kegiatan riadah dan aktiviti yang mampu menyibukkan diri mereka, berkawan dengan ramai orang selain mempunyai hobi bagi membuatkan minda mereka sentiasa bekerja dan berfikir.

"Ada kata-kata hikmah yang mengatakan, minda yang kosong mudah dimasuki syaitan dan ada kebenaran pada ayat itu. Oleh itu, kita perlu sibukkan diri dengan perkara berfaedah," katanya.


Cara mendapat minda yang sihat:

  • Tahu keupayaan diri sendiri
  • Mengambil pemakanan seimbang
  • Berfikiran terbuka
  • Berfikir secara positif
  • Reda dengan dugaan
  • Sibukkan diri dengan aktiviti berfaedah
  • Beriadah
  • Berkawan dengan ramai orang
  • Bersolat dan berdoa
  • Kongsi perasaan


    Kesan mental tidak tenang:
  • Kulit menjadi kering dan kusam
  • Timbul ruam
  • Hormon bercelaru
  • Penampilan kusut
  • Mudah tersinggung
  • Mudah penat
  • Mudah diserang penyakit

  • Sumber Artikel : Harian Metro

    Monday, October 8, 2012

    7 Ancaman Utama Kesihatan Wanita

    BERDASARKAN kajian didapati ancaman besar terhadap kesihatan wanita sebenarnya boleh dicegah. Dalam bab menjaga kesihatan diri sendiri, tiada orang lain yang lebih layak untuk memikul tanggungjawab ini. Mungkin ramai tidak sedar, menjaga kesihatan yang menjadi harta paling berharga dalam hidup kita adalah satu amanah kerana ia membolehkan kita menjalankan tugasan harian termasuk bekerja, menguruskan rumah tangga dan menjalankan ibadat dengan lebih baik. Memang tidak dapat dinafikan, wanita lebih peka dalam menjaga kesihatan. Namun ia perlu dipertingkatkan kerana tugas dan tanggungjawab wanita kini lebih besar dan mencabar.

    Berdasarkan statistik daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), ada tujuh ancaman utama kepada kesihatan wanita. Mari kita sama-sama belajar cara untuk mengurangkan risiko ancaman ini.

    1. Sakit jantung - Sakit jantung bukan penyakit lelaki saja walaupun jarang kedengaran wanita diserang penyakit ini. Sebelum menopaus, hormon wanita melindungi kita daripada serangan penyakit jantung tetapi selepas putus haid, risiko untuk mendapat penyakit ini sama seperti lelaki.

    Jadi ambillah langkah pencegahan dari sekarang supaya kita tidak termasuk dalam statistik rakyat Malaysia yang mendapat serangan jantung. Antara yang boleh dilakukan ialah:

  • Berhenti merokok jika anda merokok. Ada banyak kaedah terkini yang boleh membantu anda berhenti. Pergilah ke mana-mana klinik berhenti merokok atau minta doktor rujukkan anda kepada pakar yang sentiasa bersedia membantu anda berhenti merokok.
  • Amalkan pemakanan sihat - Lebihkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan, kurangkan makanan mengandungi banyak lemak, gula dan garam.
  • Kawal penyakit anda dengan baik terutama tekanan darah tinggi, masalah kolesterol tinggi dan kencing manis.
  • Bersenam - Ini sangat penting. Bersenamlah sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit sehari, empat atau lima kali seminggu. Jika dapat dilakukan setiap hari, kesannya lebih baik.
  • Kekalkan berat badan yang sihat. Penambahan berat badan akan meningkatkan risiko diserang penyakit jantung.
  • Hadkan pengambilan alkohol, terlalu banyak alkohol akan meningkatkan tekanan darah, namun lebih baik jika ia dihentikan terus.
  • Tangani tekanan. Luangkan masa untuk belajar kaedah menguruskan tekanan dengan cara yang sihat dan menggembirakan.


    2. Kanser - Walaupun secara umumnya punca sebenar kanser tidak diketahui tetapi ada pelbagai cara yang boleh diambil untuk mengurangkan risikonya.
  • Jangan merokok. Merokok adalah faktor penting yang boleh mendekatkan anda dengan kanser. Pada masa sama, cuba elakkan menjadi perokok sekunder (tidak merokok tetapi kerap terdedah kepada asap rokok).
  • Kerap bersenam. Pilih senaman yang anda suka. Ia bukan saja boleh menjadi terapi minda malah mampu mengawal berat badan. Ada pakar berkata penurunan berat badan secara tidak langsung mengurangkan risiko kanser.
  • Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Lindungi kulit daripada cahaya matahari yang terik.
  • Menyusukan anak. Penyusuan badan dapat membantu mengurangkan risiko kanser payudara.
  • Ambil langkah pencegahan dengan menjalani ujian pemeriksaan seperti mamogram dan lumuran Pap.


    3. Strok - Ada sesetengah faktor risiko strok tidak boleh dikawal seperti sejarah keluarga, umur dan keturunan. Namun faktor lain boleh dikawal contohnya:
  • Kawal penyakit anda. Jika anda ada masalah tekanan darah tinggi atau kolesterol tinggi, ambil ubat mengikut jadual. Jika ada kencing manis, pastikan paras gula berada dalam julat normal.
  • Jangan merokok. Jika anda merokok, berusaha untuk berhenti.
  • Amalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang dan paling penting - kerap bersenam.
  • Pelajari tanda awal strok dan kongsi maklumat ini dengan ahli keluarga serta rakan baik. Minta ahli keluarga dan rakan segera membawa anda ke hospital jika anda menunjukkan tanda strok.


    4. Penyakit saluran pernafasan bawah kronik - Dalam erti kata lain, ada masalah dengan paru-paru anda. Ini termasuk bronkitis dan emfisema. Jadi, ambillah langkah untuk menjaga kesihatan paru-paru dengan:
  • Tidak merokok
  • Hindari tempat yang banyak pencemaran (kimia dan udara)
  • Cegah jangkitan saluran pernafasan dengan kaedah paling mudah - mencuci tangan dengan baik.


    5. Penyakit Alzheimer - Meskipun tiada kaedah khusus untuk mencegahnya, tetapi pakar sependapat risikonya boleh dikurangkan melalui:
  • Kawal penyakit anda. Penyakit seperti tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi, sakit jantung, strok dan kencing manis dikatakan boleh meningkatkan risiko mendapat Alzheimer.
  • Jangan merokok. Sesetengah kajian mendapati ada kaitan antara Alzheimer dengan rokok.
  • Bersenam, tidak kira apa bentuk senaman pun, semuanya boleh memberi manfaat.
  • Jaga kesihatan minda dan sosial dengan menyertai aktiviti kemasyarakatan, membaca, melakukan perkara yang mencabar fikiran termasuk mempelajari benda baru.


    6. Kemalangan - Kemalangan jalan raya juga disenaraikan sebagai ancaman utama kepada kesihatan wanita. Patuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya, sama ada anda memandu atau menggunakan kenderaan awam.


    7. Kencing manis - Ini penyakit yang sangat lazim di negara kita. Untuk mencegah kencing manis, amalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan dan selalu bersenam, khususnya bagi mereka yang ada sejarah keluarga menghidap penyakit ini.

    Jika anda sudah menghidapnya, ambillah langkah proaktif supaya paras gula anda berada dalam julat sihat kerana kencing manis yang tidak terkawal akan merosakkan saraf khususnya pada kaki dan mata. Selain itu, ia juga meningkatkan risiko mendapat sakit jantung dan mengalami kerosakan buah pinggang.

  • Sumber Artikel : Harian Metro

    Tuesday, July 3, 2012

    Kenapa Duduk Lama Kemudian Bangun Je Rasa Pening dan Gelap?

    Ketika sedang duduk mengemas barang-barang yang tidak berguna di bawah meja, tiba-tiba anda dipanggil berjumpa dengan ketua anda. Anda bangun secara tiba-tiba dan tidak semena-mena anda berasa pening dan pandangan menjadi gelap?Jika anda sering mengalami keadaan demikian, berhati-hatilah. Ini kerana, risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah kegagalan jantung.

    Keadaan yang dikenali dengan istilah hipotensi ortostatik ini biasanya berlaku penurunan tekanan darah secara tiba-tiba. Hasil penemuan didapati melalui kajian yang dilakukan terhadap 12,000 orang responden di empat wilayah Amerika yang berusia di antara 45 - 54 tahun.

    Dari hasil penyelidikan yang dilakukan selama 17 tahun ini. didapati hampir 11 peratus orang memiliki gejala hipotensi ortostatik pada awal penyelidikan. Sementara itu, mereka yang tidak memiliki hipotensi ortostatik, hanya empat peratus sahaja yang mengembangkan masalah kegagalan jantung. Hubungan di antara hipotensi ortostatik dan kegagalan jantung dilihat jelas di antara orang yang berusia diantara 45 - 55 tahun. 

    Penyelidik mengakui tidak tahu bagaimana hipotensi ortostatik boleh menyebabkan kegagalan jantung. Namun hasil daripada perbincangan mereka, kesemuanya sepakat mengatakan bahawa hipotensi ortostatik dan tekanan darah tinggi penyebab risiko kegagalan jantung melalui jalur yang sama. "Contohnya seperti ketika hipertensi berlaku ketika orang yang sedang tidur" ujar Dr. Christine DeLong Jones dari University of North Carolina, Chapel Hill.

    Monday, July 2, 2012

    Penyakit Gout : Punca, Pencetus dan Kaedah Rawatan

    Gout adalah salah satu bentuk artritis yang tertua sekali dan merupakan di antara penyakit yang makanan menjadi punca utamanya. Kemunculan gout sering terjadi secara tiba-tiba dan bukannya beransur-ansur seperti kebanyakkan penyakit yang lain. Gout boleh berlaku hanya dalam jangka waktu semalaman terutamanya setelah anda memakan sesuatu yang menjadi kepantangan bagi pesakit gout. Sendi yang terkena itu biasanya amat sakit apabila disentuh, sehingga berat sehelai kain cadar pada kaki pun terasa perit.

    PUNCA GOUT

    Gout terjadi apabila terdapat timbunan asid urik di dalam tubuh seseorang. Timbunan asid urik dalam darah sebenarnya merupakan proses semulajadi dalam manusia yang sihat sebagai produk pemecahan pelbagai proses kimia.

    Pada kebiasaannya, badan seseorang akan membuangkan asid urik lebihan melalui buah pinggang ke dalam air kencing. Jika buah pinggang seseorang tidak berfungsi dengan baik, asid urik di dalam badan akan menimbuni dan berkumpul di dalam sendi atau kulit. Keadaan ini dikenali sebagai "hiperurikemia", dimana terdapat terlalu banyak asid urik di dalam darah. Hiperurikemia juga boleh terjadi apabila badan terlebih mengeluarkan asid urik. Ini meningkatkan faktor risiko tersendiri untuk diserang gout akut.

    Serangan pertama gout biasanya terjadi pada ibu jari kaki atau sendi bunion. Jika ini tidak dirawat, serangan pertama mungkin dirasai selama satu hingga dua minggu. Selepas serangan pertama, serangan berikutnya akan berlaku selepas beberapa bulan atau tahun. Jika ia dibiarkan tidak dirawat, serangan akan menjadi lebih kerap, dirasai lebih lama dan melibatkan sendi lain. Selepas masa berlalu, pergelangan kaki, kaki, lutut, siku dan tangan mungkin juga diserang. Lama-kelamaan, serangan berulang ini mungkin mengakibatkan kerosakan sendi, ketidakupayaan dan juga kelumpuhan

    PENCETUS GOUT

    Serangan gout biasanya dikaitkan dengan faktor berikut :
    • Minum minuman beralkohol secara berlebihan
    • Terlebih makan makanan yang tinggi kandungan purina
    • Kecederaan ringan pada sendi
    • Kurang minum air
    • Mengamalkan diet kilat
    • Penyusutan air dalam tubuh disebabkan oleh pengambilan minuman yang bersifat diuretik.
    KAEDAH RAWATAN

    Semasa Diserang
    1. Ubatan anti-radang bukan steroid (NSAID) baisanya digunakan untuk mengawal sakit dan bengkak. Kebiasaannya, ubatan ini efektif dalam masa dua hari dan diambil untuk jangka masa pendek sahaja.
    2. 'Colchicine' telah digunakan selama lebih daripada 100 tahun untuk mengubati keradangan yang disebabkan oleh gout dan selalunya ubatan ini aktif untuk jangka masa 24 jam
    3. 'Cortisteroid' digunakan dalam keadaan serangan teruk dan disuntik terus ke sendi untuk mendapatkan kelegaan segera. Segala bentuk pemberian ubatan dan rawatan perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu
    Penjagaan Jangka Panjang
    1. Kawal berat badan. Berat badan berlebihan akan mengganggu keupayaan tubuh menguraikan asid urik.
    2. Elak minuman beralkohol terutamanya bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap gout
    3. Elakkan makanan pencetus gout seperti ikan sardin, ikan bilis, ginjal, hati atau organ dalaman haiwan yang lain, daging merah terutamanya daging kambing dan makanan laut terutamanya udang dan ketam.
    4. Sentiasa pastikan anda minum air putih yang cukup iaitu sekurang-kurangnya dua liter air sehari.

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...