Bersenam dan makan makanan seimbang

Untuk sihat dan kekalkan berat badan, kena amalkan pemakanan sihat disamping senaman yang berterusan.

Bersenam bersama rakan-rakan

Bersenam dan bersukan bersama rakan-rakan lebih menarik dan bersemangat daripada bersenam bersendirian.

Hadiri kelas aerobik dengan tunjuk ajar Instructor bertauliah

Hadiri kelas aerobik dengan tujuk ajar instructor bertauliah akan menjadikan senaman anda lebih teratur dan berkesan.

Mendaftar Di Gym

Jika ada duit lebih, elok juga mendaftarkan diri di Gym kerana disini terdapat kelengkapan senaman yang lengkap dengan penunjukajar dan jurulatih yang bertauliah dan berpengalaman. Anda akan kurus lebih cepat disini.

Berumur tetap amalkan gaya hidup sihat

Walaupun sudah berumur, tetapi ini tidak akan membataskan dan menjadi alasan untuk anda bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Monday, October 29, 2012

Apa Yang Kita Makan Tentukan Kesihatan Diri

TIDAK dinafikan setiap individu mahu kesihatan mereka berada pada tahap optimum, sama ada dari segi fizikal atau mental. Namun cara hidup yang semakin pantas, sibuk dan sentiasa mengejar masa menyebabkan ramai hilang fokus hingga mengabaikan diri demi mencapai kejayaan yang bersifat materialistik. Walaupun wang yang dicari, ia bukan penyelesaian kepada segala persoalan hidup dan apabila kesihatan merosot, kualiti hidup juga merudum hingga menyebabkan seseorang itu menjadi murung. Kesihatan mental dan fizikal saling berkait rapat. Kedua-duanya perlu bergerak seiringan kerana sekiranya mental tidak sihat, ia akan memberi kesan negatif kepada fizikal dan begitu juga sebaliknya.

Perangkaan di negara maju seperti Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat menunjukkan kes bunuh diri banyak berlaku. Ini terjadi apabila wujud masalah mental akibat pengurusan minda yang tertutup, harapan tinggi yang tidak tercapai serta tekanan hidup yang mendorong perbuatan negatif itu.

Antara faktor yang menyumbang kepada kes bunuh diri semakin meningkat adalah masalah pengangguran, ekonomi, kemurungan dan tekanan daripada masyarakat sekeliling.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Khaidzir Ismail berkata, minda adalah bahagian yang paling penting pada tubuh dan sekiranya ia tidak dijaga, pemikiran seseorang menjadi bercelaru hingga menyebabkannya gagal mengurus diri serta hidup dengan baik.

Apabila mental menjadi tidak sihat termasuk mengalami tekanan akibat masalah hidup seperti putus cinta, bergaduh dengan rakan atau bercerai, hormon menjadi tidak seimbang hingga ia kelihatan pada kulit.

"Kulit boleh timbul ruam dan kering akibat hormon yang bercelaru disebabkan tekanan pada minda. Kadangkala kita ingatkan kulit kering kerana tidak sapu losen tetapi sebenarnya ia terjadi kerana stres.

"Apabila mental tidak stabil, perubahan pada tubuh dapat dilihat dengan nyata, antaranya fizikal menjadi tidak terurus, rambut kusut atau kulit kering," katanya.

Beliau berkata, sebaliknya juga akan berlaku apabila seseorang gembira dan berfikiran positif, mindanya akan tenang membuatkan hormon menjadi stabil, seterusnya kulit kelihatan cantik dan berseri-seri.

Selain pemakanan yang teratur dan seimbang, kesihatan fizikal seseorang turut mempunyai hubung kait yang rapat dengan mindanya hinggakan pemikiran yang negatif mampu dilihat pada perubahan fizikal yang mungkin menjadi tidak bermaya dan kulit kusam.

Menurutnya, pemakanan turut menyumbang kepada kesihatan diri. Apabila seseorang itu mengambil pemakanan banyak karbohidrat, tubuh akan menjadi lesu fizikal dan ia memberi kesan secara tidak langsung pada minda.

Begitu juga apabila seseorang mengambil makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi dalam diet, ia akan membuatkan diri menjadi terlalu aktif dan mungkin mudah naik marah.

"Makanan sememangnya mempunyai hubung kait dengan kesihatan mental kerana ia memberi kesan kepada kesihatan fizikal. Nutrien makanan seperti zat besi dan protein memberi kesan pada tubuh.

"Setiap makanan yang diambil mempengaruhi tubuh. Oleh itu, untuk mendapat mental yang sihat, pemakanan juga perlu dijaga kerana minda memerlukan zat daripada pemakanan yang disalurkan ke dalam tubuh," katanya.

Dr Khaidzir berkata, seseorang itu perlu menjaga kesihatan mentalnya dalam usaha memelihara kesihatan dirinya secara menyeluruh termasuk mengambil pendekatan sentiasa berfikiran positif walaupun berhadapan dengan cabaran.

Menurutnya, setiap orang perlu mengetahui keupayaan diri masing-masing supaya mereka dapat mengawal diri mereka daripada melakukan perkara tidak sepatutnya.

"Seseorang itu tidak seharusnya suka menyalahkan pihak lain, sebaliknya menerima sebarang dugaan yang datang dengan hati yang terbuka, reda dan tenang kerana ia boleh menjaga kesihatan mental diri mereka.

"Mereka juga perlu tahu kaedah untuk mengawal diri sendiri kerana minda yang tidak tenang akan menyebabkan seseorang berasa penat dan mudah diserang penyakit, mudah meracau selain sukar menerima gurau senda rakan," katanya.

Beliau berkata, minda perlu sentiasa positif dan menerima dugaan serta cabaran hidup dengan hati terbuka, seterusnya membuatkan seseorang memperoleh kesihatan mental yang baik.

Bagi orang Islam pula, mereka perlu menjaga solat dan sentiasa berdoa dalam usaha memperoleh ketenangan diri, seterusnya dapat menjalani hidup dengan lebih gembira.

"Selain positif dan menikmati setiap saat hidup dengan gembira, manusia perlu berkawan dan tidak seharusnya berseorangan. Ini kerana seseorang perlu berkongsi apa yang ada dalam hatinya termasuk susah senang demi minda yang sihat.

"Seseorang juga digalakkan terbabit dalam kegiatan riadah dan aktiviti yang mampu menyibukkan diri mereka, berkawan dengan ramai orang selain mempunyai hobi bagi membuatkan minda mereka sentiasa bekerja dan berfikir.

"Ada kata-kata hikmah yang mengatakan, minda yang kosong mudah dimasuki syaitan dan ada kebenaran pada ayat itu. Oleh itu, kita perlu sibukkan diri dengan perkara berfaedah," katanya.


Cara mendapat minda yang sihat:

  • Tahu keupayaan diri sendiri
  • Mengambil pemakanan seimbang
  • Berfikiran terbuka
  • Berfikir secara positif
  • Reda dengan dugaan
  • Sibukkan diri dengan aktiviti berfaedah
  • Beriadah
  • Berkawan dengan ramai orang
  • Bersolat dan berdoa
  • Kongsi perasaan


    Kesan mental tidak tenang:
  • Kulit menjadi kering dan kusam
  • Timbul ruam
  • Hormon bercelaru
  • Penampilan kusut
  • Mudah tersinggung
  • Mudah penat
  • Mudah diserang penyakit

  • Sumber Artikel : Harian Metro

    Tuesday, October 9, 2012

    Kebaikan Susu Ibu : Elak Alahan

    ALAHAN terhadap makanan di kalangan kanak-kanak kecil bukan masalah baru, malah perangkaan menunjukkan masalah berkenaan semakin meningkat di negara membangun di rantau Asia Pasifik. Menurut Pertubuhan Alahan Dunia (WAO), antara 30 hingga 40 peratus daripada masyarakat dunia kini terjejas akibat satu jenis keadaan alahan atau lebih.Sekiranya gaya berkenaan berterusan meningkat tanpa sebarang langkah pencegahan, 50 peratus rakyat Malaysia dijangka akan mendapat sekurang-kurangnya satu jenis alahan menjelang 2020.

    Pakar Pediatrik Alahan, Bahagian Alahan dan Imunologi Hospital Royal Children, Melbourne, Dr Ralf Heine, berkata peningkatan terkini itu pada asalnya memberi kesan kepada masyarakat Barat, tetapi ia kini semakin jelas di negara membangun seperti rantau Asia Pasifik.

    Keadaan itu sesuatu yang membimbangkan kerana kanak-kanak kecil lebih mudah terdedah kepada penyakit alahan dan kebanyakan masalah alahan berlaku pada dua tahun pertama kehidupan.
    “Saya menyarankan ibu bapa untuk mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar alahan dan lakukan langkah pencegahan dalam berhadapan dengan masalah alahan kanak-kanak.

    “Strategi pencegahan alahan kini menjadi keutamaan dalam kesihatan awam selari dengan peningkatan terbaru alahan terhadap sesetengah jenis makanan dan penyakit kulit ekzema,” katanya.

    Antara strategi pemakanan yang efektif adalah kepentingan memberikan susu badan kerana ia mempunyai faedah dalam menentang keadaan alahan melalui cara menggalakkan toleransi oral.

    Kumpulan pakar pediatrik juga mengesyorkan kepentingan bercerai susu dan pemakanan dalam mengurangkan masalah alahan selain peranan penting probiotik dan prebiotik bagi mencegah kewujudan masalah alahan di kalangan kanak-kanak.

    Beliau berkata, masalah alahan semakin meningkat, tetapi risikonya mungkin berbeza mengikut rantau seiring dengan kesedaran yang semakin meningkat di kalangan masyarakat.

    “Ibu bapa dan semua golongan yang bekerja dengan kanak-kanak termasuk penjaga, pengasuh, guru dan pakar perubatan perlu diberi kesedaran dan pengetahuan mengenai maklumat terkini alahan memandangkan ada kes yang tidak wujud 20 tahun lalu, tetapi kini semakin meningkat,” katanya.

    Ibu bapa perlu dididik dengan tanda amaran alahan supaya dapat mengenal pasti sekiranya anak mereka mengalami masalah berkenaan.

    Dr Heine berkata, masalah kulit ekzema yang selalunya wujud pada tahun pertama kanak-kanak boleh memberi petunjuk wujudnya alahan terhadap sesetengah makanan.
    Contohnya, timbul ruam pada kulit anak dalam tempoh satu jam selepas diberi susu atau makanan dan kesan itu berlaku setiap kali selepas diberi minuman atau makanan yang sama.

    Katanya, jika keadaan itu berlaku, ibu bapa perlu membawa anak berjumpa pakar pediatrik alahan bagi menjalani ujian darah dan kulit. Sekumpulan kecil makanan seperti telur, susu lembu, soya, gandum, kacang tanah, kekacang, ikan dan kerang mempunyai kadar alahan yang tinggi pada kanak-kanak iaitu sehingga 95 peratus.

    “Kanak-kanak boleh menjadi alah kepada mana-mana makanan itu kerana kandungan protein di dalamnya sukar untuk dicerna oleh perut mereka.

    “Namun mengelak terus daripada mengambil kumpulan makanan itu boleh meningkatkan risiko alahan lalu pendekatan terbaru adalah memperkenalkan makanan berkenaan sebelum usia kanak-kanak setahun dalam kuantiti yang sedikit dengan pengawasan pakar pediatrik.

    “Ibu bapa tidak digalakkan melakukannya sendiri, tetapi merujuk serta dipantau oleh pakar bagi mengelak risiko alahan yang teruk,” katanya.

    Beliau berkata, jika salah seorang ibu atau bapa mempunyai alahan terhadap makanan, kemungkinan anak mengalami alahan juga meningkat, tetapi sekiranya ibu dan bapa ada alahan, anak mempunyai 70 peratus risiko mengalami alahan yang sama.

    Katanya, jika hanya ibu yang ada alahan, risiko anak untuk mendapat alahan adalah antara 50 hingga 60 peratus dan meningkat sekiranya ibu dan bapa mempunyai masalah ekzema atau asma.

    Namun jika hanya bapa atau adik-beradik lain ada alahan, maka kanak-kanak itu mempunyai risiko paling rendah untuk terkena alahan makanan.

    “Tetapi gaya terkini menunjukkan walaupun di kalangan keluarga yang tidak merekodkan sebarang alahan, ada kanak-kanak yang mengalami alahan pada makanan dan ia semakin meningkat. Oleh itu, kesedaran perlu dipertingkatkan dan bukan hanya tertumpu kepada populasi berisiko tinggi,” katanya.

    Dr Heine berkata, ada sesetengah makanan didapati kini semakin kerap menyebabkan alahan dan semakin sukar dihadamkan tubuh seterusnya membuatkan gaya alahan juga semakin berubah.

    Lebih menarik, melahirkan anak secara pembedahan Caesarean juga boleh meningkatkan risiko alahan anak kepada makanan antara 30 hingga 40 peratus. Ini kerana ia menghalang mereka daripada melalui saluran peranakan yang mempunyai bakteria baik yang memasuki perut dan merangsang sistem pertahanan badan mereka.

    Beliau berkata, sebaliknya jika perut anak dimasuki bakteria yang salah, ia akan menyebabkan kanak-kanak lebih terdedah kepada masalah risiko alahan yang meningkat pada masa depan.

    “Pendedahan pertama terhadap bakteria baik pada perut penting kerana ia dapat merangsang sistem imun tubuh kanak-kanak dan melindunginya daripada masalah alahan.

    “Oleh itu, ibu perlu mengelak meminta untuk melahirkan anak mereka melalui pembedahan hanya untuk kemudahan mereka sebaliknya ia hanya dilakukan atas alasan yang betul, sekiranya benar-benar perlu dan membabitkan nyawa kedua-duanya,” katanya.

    Ramai juga ibu bapa semakin berminat mengambil tahu mengenai risiko alahan dan semakin ramai ibu yang bermotivasi untuk memberi anak mereka susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan pertama.

    Ibu bapa juga perlu sedar mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil untuk mengelak anak mereka terdedah kepada alahan dengan memulakan pendidikan awal dan mencari sebanyak mungkin maklumat bagi mendidik diri sendiri.

    Menurutnya, di New York, Amerika Syarikat, terdapat kajian yang menggunakan perubatan tradisional Cina dalam mencari penyelesaian kepada masalah alahan walaupun ketika ini tiada ubat yang dapat mengelak atau menyembuhkan alahan.

    Oleh itu, mencegah lebih baik daripada merawat selain penyediaan rawatan lebih baik dan sempurna serta bertemu dengan pakar perubatan terlatih bagi mendapatkan rawatan kerana alahan juga dikategorikan sebagai penyakit kronik.

    “Ia tidak boleh dipulihkan sepenuhnya, tetapi boleh dikawal jika diuruskan dengan baik dan dijaga daripada terdedah kepada faktor yang mencetuskan alahan.
    Ibu bapa yang mempunyai masalah asma, ekzema dan demam alergi perlu merawat penyakit mereka dengan berkesan,” katanya.

    Dr Heine berkata, penggunaan probiotik iaitu bakteria baik juga didapati dapat merangsang sistem imun tubuh seterusnya mampu mengurangkan masalah kulit seperti ekzema pada kanak-kanak.

    Beliau menyarankan wanita mengandung mengambil langkah mengurangkan risiko anak mereka terkena alahan iaitu dengan mengambil probiotik sepanjang kehamilan, suplemen minyak ikan dan menghindar daripada merokok.

    Selepas melahirkan pula, katanya wanita disaran untuk memberikan susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya untuk enam bulan pertama, tidak memberikan anak makanan yang berisiko tinggi dan mampu mencetuskan alahan serta memperkenalkan makanan tambahan daripada semua kumpulan makanan secara sedikit dan perlahan-lahan.

    Rujukan : Artikel Harian Metro 30/09/2012

    Monday, October 8, 2012

    7 Ancaman Utama Kesihatan Wanita

    BERDASARKAN kajian didapati ancaman besar terhadap kesihatan wanita sebenarnya boleh dicegah. Dalam bab menjaga kesihatan diri sendiri, tiada orang lain yang lebih layak untuk memikul tanggungjawab ini. Mungkin ramai tidak sedar, menjaga kesihatan yang menjadi harta paling berharga dalam hidup kita adalah satu amanah kerana ia membolehkan kita menjalankan tugasan harian termasuk bekerja, menguruskan rumah tangga dan menjalankan ibadat dengan lebih baik. Memang tidak dapat dinafikan, wanita lebih peka dalam menjaga kesihatan. Namun ia perlu dipertingkatkan kerana tugas dan tanggungjawab wanita kini lebih besar dan mencabar.

    Berdasarkan statistik daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), ada tujuh ancaman utama kepada kesihatan wanita. Mari kita sama-sama belajar cara untuk mengurangkan risiko ancaman ini.

    1. Sakit jantung - Sakit jantung bukan penyakit lelaki saja walaupun jarang kedengaran wanita diserang penyakit ini. Sebelum menopaus, hormon wanita melindungi kita daripada serangan penyakit jantung tetapi selepas putus haid, risiko untuk mendapat penyakit ini sama seperti lelaki.

    Jadi ambillah langkah pencegahan dari sekarang supaya kita tidak termasuk dalam statistik rakyat Malaysia yang mendapat serangan jantung. Antara yang boleh dilakukan ialah:

  • Berhenti merokok jika anda merokok. Ada banyak kaedah terkini yang boleh membantu anda berhenti. Pergilah ke mana-mana klinik berhenti merokok atau minta doktor rujukkan anda kepada pakar yang sentiasa bersedia membantu anda berhenti merokok.
  • Amalkan pemakanan sihat - Lebihkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan, kurangkan makanan mengandungi banyak lemak, gula dan garam.
  • Kawal penyakit anda dengan baik terutama tekanan darah tinggi, masalah kolesterol tinggi dan kencing manis.
  • Bersenam - Ini sangat penting. Bersenamlah sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit sehari, empat atau lima kali seminggu. Jika dapat dilakukan setiap hari, kesannya lebih baik.
  • Kekalkan berat badan yang sihat. Penambahan berat badan akan meningkatkan risiko diserang penyakit jantung.
  • Hadkan pengambilan alkohol, terlalu banyak alkohol akan meningkatkan tekanan darah, namun lebih baik jika ia dihentikan terus.
  • Tangani tekanan. Luangkan masa untuk belajar kaedah menguruskan tekanan dengan cara yang sihat dan menggembirakan.


    2. Kanser - Walaupun secara umumnya punca sebenar kanser tidak diketahui tetapi ada pelbagai cara yang boleh diambil untuk mengurangkan risikonya.
  • Jangan merokok. Merokok adalah faktor penting yang boleh mendekatkan anda dengan kanser. Pada masa sama, cuba elakkan menjadi perokok sekunder (tidak merokok tetapi kerap terdedah kepada asap rokok).
  • Kerap bersenam. Pilih senaman yang anda suka. Ia bukan saja boleh menjadi terapi minda malah mampu mengawal berat badan. Ada pakar berkata penurunan berat badan secara tidak langsung mengurangkan risiko kanser.
  • Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Lindungi kulit daripada cahaya matahari yang terik.
  • Menyusukan anak. Penyusuan badan dapat membantu mengurangkan risiko kanser payudara.
  • Ambil langkah pencegahan dengan menjalani ujian pemeriksaan seperti mamogram dan lumuran Pap.


    3. Strok - Ada sesetengah faktor risiko strok tidak boleh dikawal seperti sejarah keluarga, umur dan keturunan. Namun faktor lain boleh dikawal contohnya:
  • Kawal penyakit anda. Jika anda ada masalah tekanan darah tinggi atau kolesterol tinggi, ambil ubat mengikut jadual. Jika ada kencing manis, pastikan paras gula berada dalam julat normal.
  • Jangan merokok. Jika anda merokok, berusaha untuk berhenti.
  • Amalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang dan paling penting - kerap bersenam.
  • Pelajari tanda awal strok dan kongsi maklumat ini dengan ahli keluarga serta rakan baik. Minta ahli keluarga dan rakan segera membawa anda ke hospital jika anda menunjukkan tanda strok.


    4. Penyakit saluran pernafasan bawah kronik - Dalam erti kata lain, ada masalah dengan paru-paru anda. Ini termasuk bronkitis dan emfisema. Jadi, ambillah langkah untuk menjaga kesihatan paru-paru dengan:
  • Tidak merokok
  • Hindari tempat yang banyak pencemaran (kimia dan udara)
  • Cegah jangkitan saluran pernafasan dengan kaedah paling mudah - mencuci tangan dengan baik.


    5. Penyakit Alzheimer - Meskipun tiada kaedah khusus untuk mencegahnya, tetapi pakar sependapat risikonya boleh dikurangkan melalui:
  • Kawal penyakit anda. Penyakit seperti tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi, sakit jantung, strok dan kencing manis dikatakan boleh meningkatkan risiko mendapat Alzheimer.
  • Jangan merokok. Sesetengah kajian mendapati ada kaitan antara Alzheimer dengan rokok.
  • Bersenam, tidak kira apa bentuk senaman pun, semuanya boleh memberi manfaat.
  • Jaga kesihatan minda dan sosial dengan menyertai aktiviti kemasyarakatan, membaca, melakukan perkara yang mencabar fikiran termasuk mempelajari benda baru.


    6. Kemalangan - Kemalangan jalan raya juga disenaraikan sebagai ancaman utama kepada kesihatan wanita. Patuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya, sama ada anda memandu atau menggunakan kenderaan awam.


    7. Kencing manis - Ini penyakit yang sangat lazim di negara kita. Untuk mencegah kencing manis, amalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan dan selalu bersenam, khususnya bagi mereka yang ada sejarah keluarga menghidap penyakit ini.

    Jika anda sudah menghidapnya, ambillah langkah proaktif supaya paras gula anda berada dalam julat sihat kerana kencing manis yang tidak terkawal akan merosakkan saraf khususnya pada kaki dan mata. Selain itu, ia juga meningkatkan risiko mendapat sakit jantung dan mengalami kerosakan buah pinggang.

  • Sumber Artikel : Harian Metro

    Serat Epal Pengikat Lemak

    KITA bukan tidak biasa dengan epal malah ia boleh didapati di mana saja, baik di pasar raya mahupun di pasar malam. Harganya juga berpatutan, bergantung kepada jenis dan asal usul epal. Manfaatnya kepada kesihatan memang diperakui ramai cuma ramai kurang mengambil tahu khasiat buah ini.


    Jika masih kurang percaya, berikut beberapa fakta mengenai epal:



  • Penyelidik menyarankan epal sebaiknya dimakan begitu saja. Kajian membandingkan pengambilan epal dengan jus epal. Ia menunjukkan seseorang itu berasa kurang lapar dan lebih kepuasan apabila makan sebiji epal.

    Menariknya, makan epal bersaiz sederhana kira-kira 15 minit sebelum makan boleh mengurangkan pengambilan kalori sebanyak 15 peratus semasa makan.

    Sebiji epal mengambil masa lebih lama untuk dikunyah manakala makan epal berserta kulitnya sekali menyumbang kepada pengambilan serat lebih tinggi.

    Jus epal lazimnya kurang tekstur dan serat berbanding sebiji epal biasa. Malah jus epal kebiasaan–nya ditambah dengan gula.

    Sebaiknya makan epal dalam bentuknya yang semula jadi.

  • Mengekalkan paras gula dalam darah.

    Dipenuhi phytonutrien, epal boleh membantu untuk mengekalkan paras gula darah yang menyihat–kan.

    Buah ini kaya dengan antioksidan yang membantu untuk mengurangkan penyerapan glukosa.

    Pectin di dalam epal pula membekalkan asid galacturonic kepada tubuh yang merendahkan keperluan badan terhadap insulin dan boleh membantu dalam menangani diabetes.

    Wanita yang makan sekurang-kurangnya sebiji epal sehari didapati 28 peratus berkurangan untuk mengalami diabetes jenis 2 berbanding mereka yang tidak makan epal.

  • Menggigit dan mengunyah epal boleh merangsang pengeluaran air liur di dalam mulut, mengurangkan kerosakan gigi dengan merendahkan tahap bakteria.




  • Saintis daripada Persatuan Penyelidikan Kanser Amerika mendapati pengambilan epal boleh membantu untuk mengurangkan risiko kanser pankreas sehingga 23 peratus.

    Penyelidik di Universiti Cornell pula mendapati beberapa bahan triterpenoid yang diperoleh pada kulit epal mempunyai ciri menentang pertumbuhan sel kanser di dalam hati, usus dan payudara.





  • Mengurangkan kolesterol.

    Serat larut di dalam epal mengikat lemak di dalam usus seterusnya merendahkan paras kolesterol.

    Banyak kajian mengaitkan pengambilan serat larut yang tinggi dengan pembentukan perlahan plak yang kaya dengan kolesterol di dalam salur darah.

  • Menangani cirit-birit dan sembelit.

    Sama ada anda asyik membuang air atau langsung tidak boleh ke tandas, serat di dalam epal boleh membantu.

  • Mengawal berat badan.

    Kebanyakan masalah kesihatan dikaitkan dengan lebihan berat badan termasuk penyakit jantung, strok, tekanan darah tinggi serta diabetes jenis 2.

    Untuk menangani berat badan dan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan, doktor menyarankan pemakanan yang kaya dengan serat. Makanan yang kaya dengan serat boleh mengenyangkan tanpa mengambil terlau banyak kalori.

    Kajian di Brazil menunjukkan wanita yang makan tiga biji epal atau pear setiap hari mengalami pengurangan berat badan semasa berdiet berbanding wanita yang langsung tidak makan buah ini semasa berdiet.

  • Meningkatkan sistem ketahanan tubuh.

    Epal merah mengandungi antioksidan digelar quercetin. Kajian terkini mendapati quercetin boleh membantu untuk merangsang sistem ketahanan tubuh terutama apabila kita dalam keadaan tertekan.

  • Bagus untuk mata.
    Walaupun kajian sebelum ini agak bercanggah, kajian jangka panjang terkini menyarankan mereka yang mengamalkan pemakanan kaya dengan buah-buahan yang mengandungi antioksidan seperti epal, kurang berisiko 10 hingga 15 peratus untuk menghadapi masalah katarak.

  • Perlindungan tulang.

    Penyelidik di Perancis mendapati sejenis flavanoid yang digelar phloridzin yang hanya didapati di dalam epal boleh melindungi wanita menopaus daripada osteoporosis dan boleh membantu untuk meningkatkan kepadatan tulang.

    Boron iaitu satu lagi kandungan epal, juga membantu untuk menguatkan tulang.

  • Ada kajian menunjukkan kanak-kanak mengalami asma yang minum jus epal setiap hari memberi kesan baik dalam menangani masalah kesihatan itu, berbanding kanak-kanak yang hanya minum jus epal sebulan sekali.

    Kajian lain mendapati kanak-kanak dilahirkan ibunya yang makan banyak epal semasa hamil, mempunyai kadar asma lebih rendah berbanding kanak-kanak dilahirkan ibu mereka yang kurang makan epal.

  • Sumber Artikel : Akhbar Harian Metro (07/10/2012)

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...