Tuesday, October 9, 2012

Kebaikan Susu Ibu : Elak Alahan

ALAHAN terhadap makanan di kalangan kanak-kanak kecil bukan masalah baru, malah perangkaan menunjukkan masalah berkenaan semakin meningkat di negara membangun di rantau Asia Pasifik. Menurut Pertubuhan Alahan Dunia (WAO), antara 30 hingga 40 peratus daripada masyarakat dunia kini terjejas akibat satu jenis keadaan alahan atau lebih.Sekiranya gaya berkenaan berterusan meningkat tanpa sebarang langkah pencegahan, 50 peratus rakyat Malaysia dijangka akan mendapat sekurang-kurangnya satu jenis alahan menjelang 2020.

Pakar Pediatrik Alahan, Bahagian Alahan dan Imunologi Hospital Royal Children, Melbourne, Dr Ralf Heine, berkata peningkatan terkini itu pada asalnya memberi kesan kepada masyarakat Barat, tetapi ia kini semakin jelas di negara membangun seperti rantau Asia Pasifik.

Keadaan itu sesuatu yang membimbangkan kerana kanak-kanak kecil lebih mudah terdedah kepada penyakit alahan dan kebanyakan masalah alahan berlaku pada dua tahun pertama kehidupan.
“Saya menyarankan ibu bapa untuk mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar alahan dan lakukan langkah pencegahan dalam berhadapan dengan masalah alahan kanak-kanak.

“Strategi pencegahan alahan kini menjadi keutamaan dalam kesihatan awam selari dengan peningkatan terbaru alahan terhadap sesetengah jenis makanan dan penyakit kulit ekzema,” katanya.

Antara strategi pemakanan yang efektif adalah kepentingan memberikan susu badan kerana ia mempunyai faedah dalam menentang keadaan alahan melalui cara menggalakkan toleransi oral.

Kumpulan pakar pediatrik juga mengesyorkan kepentingan bercerai susu dan pemakanan dalam mengurangkan masalah alahan selain peranan penting probiotik dan prebiotik bagi mencegah kewujudan masalah alahan di kalangan kanak-kanak.

Beliau berkata, masalah alahan semakin meningkat, tetapi risikonya mungkin berbeza mengikut rantau seiring dengan kesedaran yang semakin meningkat di kalangan masyarakat.

“Ibu bapa dan semua golongan yang bekerja dengan kanak-kanak termasuk penjaga, pengasuh, guru dan pakar perubatan perlu diberi kesedaran dan pengetahuan mengenai maklumat terkini alahan memandangkan ada kes yang tidak wujud 20 tahun lalu, tetapi kini semakin meningkat,” katanya.

Ibu bapa perlu dididik dengan tanda amaran alahan supaya dapat mengenal pasti sekiranya anak mereka mengalami masalah berkenaan.

Dr Heine berkata, masalah kulit ekzema yang selalunya wujud pada tahun pertama kanak-kanak boleh memberi petunjuk wujudnya alahan terhadap sesetengah makanan.
Contohnya, timbul ruam pada kulit anak dalam tempoh satu jam selepas diberi susu atau makanan dan kesan itu berlaku setiap kali selepas diberi minuman atau makanan yang sama.

Katanya, jika keadaan itu berlaku, ibu bapa perlu membawa anak berjumpa pakar pediatrik alahan bagi menjalani ujian darah dan kulit. Sekumpulan kecil makanan seperti telur, susu lembu, soya, gandum, kacang tanah, kekacang, ikan dan kerang mempunyai kadar alahan yang tinggi pada kanak-kanak iaitu sehingga 95 peratus.

“Kanak-kanak boleh menjadi alah kepada mana-mana makanan itu kerana kandungan protein di dalamnya sukar untuk dicerna oleh perut mereka.

“Namun mengelak terus daripada mengambil kumpulan makanan itu boleh meningkatkan risiko alahan lalu pendekatan terbaru adalah memperkenalkan makanan berkenaan sebelum usia kanak-kanak setahun dalam kuantiti yang sedikit dengan pengawasan pakar pediatrik.

“Ibu bapa tidak digalakkan melakukannya sendiri, tetapi merujuk serta dipantau oleh pakar bagi mengelak risiko alahan yang teruk,” katanya.

Beliau berkata, jika salah seorang ibu atau bapa mempunyai alahan terhadap makanan, kemungkinan anak mengalami alahan juga meningkat, tetapi sekiranya ibu dan bapa ada alahan, anak mempunyai 70 peratus risiko mengalami alahan yang sama.

Katanya, jika hanya ibu yang ada alahan, risiko anak untuk mendapat alahan adalah antara 50 hingga 60 peratus dan meningkat sekiranya ibu dan bapa mempunyai masalah ekzema atau asma.

Namun jika hanya bapa atau adik-beradik lain ada alahan, maka kanak-kanak itu mempunyai risiko paling rendah untuk terkena alahan makanan.

“Tetapi gaya terkini menunjukkan walaupun di kalangan keluarga yang tidak merekodkan sebarang alahan, ada kanak-kanak yang mengalami alahan pada makanan dan ia semakin meningkat. Oleh itu, kesedaran perlu dipertingkatkan dan bukan hanya tertumpu kepada populasi berisiko tinggi,” katanya.

Dr Heine berkata, ada sesetengah makanan didapati kini semakin kerap menyebabkan alahan dan semakin sukar dihadamkan tubuh seterusnya membuatkan gaya alahan juga semakin berubah.

Lebih menarik, melahirkan anak secara pembedahan Caesarean juga boleh meningkatkan risiko alahan anak kepada makanan antara 30 hingga 40 peratus. Ini kerana ia menghalang mereka daripada melalui saluran peranakan yang mempunyai bakteria baik yang memasuki perut dan merangsang sistem pertahanan badan mereka.

Beliau berkata, sebaliknya jika perut anak dimasuki bakteria yang salah, ia akan menyebabkan kanak-kanak lebih terdedah kepada masalah risiko alahan yang meningkat pada masa depan.

“Pendedahan pertama terhadap bakteria baik pada perut penting kerana ia dapat merangsang sistem imun tubuh kanak-kanak dan melindunginya daripada masalah alahan.

“Oleh itu, ibu perlu mengelak meminta untuk melahirkan anak mereka melalui pembedahan hanya untuk kemudahan mereka sebaliknya ia hanya dilakukan atas alasan yang betul, sekiranya benar-benar perlu dan membabitkan nyawa kedua-duanya,” katanya.

Ramai juga ibu bapa semakin berminat mengambil tahu mengenai risiko alahan dan semakin ramai ibu yang bermotivasi untuk memberi anak mereka susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan pertama.

Ibu bapa juga perlu sedar mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil untuk mengelak anak mereka terdedah kepada alahan dengan memulakan pendidikan awal dan mencari sebanyak mungkin maklumat bagi mendidik diri sendiri.

Menurutnya, di New York, Amerika Syarikat, terdapat kajian yang menggunakan perubatan tradisional Cina dalam mencari penyelesaian kepada masalah alahan walaupun ketika ini tiada ubat yang dapat mengelak atau menyembuhkan alahan.

Oleh itu, mencegah lebih baik daripada merawat selain penyediaan rawatan lebih baik dan sempurna serta bertemu dengan pakar perubatan terlatih bagi mendapatkan rawatan kerana alahan juga dikategorikan sebagai penyakit kronik.

“Ia tidak boleh dipulihkan sepenuhnya, tetapi boleh dikawal jika diuruskan dengan baik dan dijaga daripada terdedah kepada faktor yang mencetuskan alahan.
Ibu bapa yang mempunyai masalah asma, ekzema dan demam alergi perlu merawat penyakit mereka dengan berkesan,” katanya.

Dr Heine berkata, penggunaan probiotik iaitu bakteria baik juga didapati dapat merangsang sistem imun tubuh seterusnya mampu mengurangkan masalah kulit seperti ekzema pada kanak-kanak.

Beliau menyarankan wanita mengandung mengambil langkah mengurangkan risiko anak mereka terkena alahan iaitu dengan mengambil probiotik sepanjang kehamilan, suplemen minyak ikan dan menghindar daripada merokok.

Selepas melahirkan pula, katanya wanita disaran untuk memberikan susu badan secara eksklusif sekurang-kurangnya untuk enam bulan pertama, tidak memberikan anak makanan yang berisiko tinggi dan mampu mencetuskan alahan serta memperkenalkan makanan tambahan daripada semua kumpulan makanan secara sedikit dan perlahan-lahan.

Rujukan : Artikel Harian Metro 30/09/2012

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...