Gout adalah salah satu bentuk artritis yang tertua sekali dan merupakan di antara penyakit yang makanan menjadi punca utamanya. Kemunculan gout sering terjadi secara tiba-tiba dan bukannya beransur-ansur seperti kebanyakkan penyakit yang lain. Gout boleh berlaku hanya dalam jangka waktu semalaman terutamanya setelah anda memakan sesuatu yang menjadi kepantangan bagi pesakit gout. Sendi yang terkena itu biasanya amat sakit apabila disentuh, sehingga berat sehelai kain cadar pada kaki pun terasa perit.
PUNCA GOUT
Gout terjadi apabila terdapat timbunan asid urik di dalam tubuh seseorang. Timbunan asid urik dalam darah sebenarnya merupakan proses semulajadi dalam manusia yang sihat sebagai produk pemecahan pelbagai proses kimia.
Pada kebiasaannya, badan seseorang akan membuangkan asid urik lebihan melalui buah pinggang ke dalam air kencing. Jika buah pinggang seseorang tidak berfungsi dengan baik, asid urik di dalam badan akan menimbuni dan berkumpul di dalam sendi atau kulit. Keadaan ini dikenali sebagai "hiperurikemia", dimana terdapat terlalu banyak asid urik di dalam darah. Hiperurikemia juga boleh terjadi apabila badan terlebih mengeluarkan asid urik. Ini meningkatkan faktor risiko tersendiri untuk diserang gout akut.
Serangan pertama gout biasanya terjadi pada ibu jari kaki atau sendi bunion. Jika ini tidak dirawat, serangan pertama mungkin dirasai selama satu hingga dua minggu. Selepas serangan pertama, serangan berikutnya akan berlaku selepas beberapa bulan atau tahun. Jika ia dibiarkan tidak dirawat, serangan akan menjadi lebih kerap, dirasai lebih lama dan melibatkan sendi lain. Selepas masa berlalu, pergelangan kaki, kaki, lutut, siku dan tangan mungkin juga diserang. Lama-kelamaan, serangan berulang ini mungkin mengakibatkan kerosakan sendi, ketidakupayaan dan juga kelumpuhan.
PENCETUS GOUT
Serangan gout biasanya dikaitkan dengan faktor berikut :
- Minum minuman beralkohol secara berlebihan
- Terlebih makan makanan yang tinggi kandungan purina
- Kecederaan ringan pada sendi
- Kurang minum air
- Mengamalkan diet kilat
- Penyusutan air dalam tubuh disebabkan oleh pengambilan minuman yang bersifat diuretik.
KAEDAH RAWATAN
Semasa Diserang
- Ubatan anti-radang bukan steroid (NSAID) baisanya digunakan untuk mengawal sakit dan bengkak. Kebiasaannya, ubatan ini efektif dalam masa dua hari dan diambil untuk jangka masa pendek sahaja.
- 'Colchicine' telah digunakan selama lebih daripada 100 tahun untuk mengubati keradangan yang disebabkan oleh gout dan selalunya ubatan ini aktif untuk jangka masa 24 jam
- 'Cortisteroid' digunakan dalam keadaan serangan teruk dan disuntik terus ke sendi untuk mendapatkan kelegaan segera. Segala bentuk pemberian ubatan dan rawatan perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu
Penjagaan Jangka Panjang
- Kawal berat badan. Berat badan berlebihan akan mengganggu keupayaan tubuh menguraikan asid urik.
- Elak minuman beralkohol terutamanya bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap gout
- Elakkan makanan pencetus gout seperti ikan sardin, ikan bilis, ginjal, hati atau organ dalaman haiwan yang lain, daging merah terutamanya daging kambing dan makanan laut terutamanya udang dan ketam.
- Sentiasa pastikan anda minum air putih yang cukup iaitu sekurang-kurangnya dua liter air sehari.
0 comments:
Post a Comment