Jantung yang baik dapat memastikan kesihatan tubuh dan minda andai keseluruhan sistem dalaman berfungsi dengan lancar. Sistem saraf, sistem pernafasan, sistem perkumuhan dan saluran darah adalah antara bahagian yang perlu sentiasa dititikberatkan kerana saling berkait rapat dengan keadaan jantung yang sihat.
Pengambilan sayuran yang banyak, selain makanan yang memiliki asid lemak omega-3 serta vitamin C kompleks dalam diet harian sudah memadai bagi mengelakkan diri terlantar di hospital.
Berikut beberapa sumber makanan lain yang baik untuk kesihatan jantung, yang bukan saja murah, tapi mudah didapati:
Emping oat
Mulakan hari anda dengan semangkuk emping oat yang kaya dengan asid lemak omega-3, folat dan kalium. Makanan yang kaya serat ini juga dapat menurunkan kadar kolesterol, di samping membantu mengelakkan arteri daripada tersumbat.
Pilih oat kasar atau organik berbanding dalam pek segera kerana ia mengandungi lebih banyak serat dan tambahkan perisa dengan pisang, kiwi atau strawberi.
Ikan salmon
Kaya dengan asid lemak omega-3, salmon secara efektif membantu mengurangkan tekanan darah dan menghindarkan saluran darah tersumbat. Cuba senaraikan ikan salmon sekurang-kurangnya dua hidangan dalam seminggu, yang mana dapat membantu mengurangkan risiko serangan jantung.
Salmon juga mengandungi karotenoid astaksantin, iaitu antioksidan penuh. Jika bukan peminat salmon, pilih ikan lain seperti tuna, sardin, kembung atau ikan hering.
Avokado
Tambahkan sedikit avokado dalam sandwic atau salad sebagai sumber lemak sihat dalam diet anda. Padat dengan lemak monotaktepu, avokado dapat membantu mengurangkan kolesterol buruk (atau dikenali LDL) sementara meningkatkan jumlah kolesterol baik (dipanggil HDL) dalam tubuh.
Avokado juga membuatkan penyerapan karotenoid lain khususnya beta karotena dan likopena - yang penting untuk kesihatan jantung.
Minyak zaitun
Kaya dengan lemak monotaktepu, minyak zaitun merendahkan tahap kolesterol LDL dan mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.
Keputusan daripada Kajian Tujuh Negara, yang melihat kejadian penyakit kardiovaskular di seluruh dunia, menunjukkan bahawa lelaki di Crete, Greece mempunyai kecenderungan untuk mendapat paras kolesterol tinggi, tapi tidak ramai yang meninggal dunia akibat penyakit jantung kerana diet mereka memberi tumpuan kepada lemak sihat yang ditemui dalam minyak zaitun.
Gunakan minyak zaitun jenis virgin atau extra-virgin dan gunakannya bagi menggantikan mentega ketika memasak.
Kacang
Kacang walnut penuh dengan asid lemak omega-3, selain badam dan kacang makadamia yang sarat dengan mono serta lemak politaktepu.
Selain itu, pengambilan kekacang dapat meningkatkan serat dalam diet. Seperti minyak zaitun, bahan makanan ini adalah sumber besar untuk lemak sihat.
Jadikan pengambilan kekacang sebagai snek berbanding mengambil makanan ringan yang penuh dengan bahan perisa dan pewarna.
Buah beri
Beri biru, raspberi dan strawberi - apa saja yang anda suka - penuh dengan khasiat antiradang yang membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dan barah.
Beri ini juga baik untuk kesihatan sistem pembuluh darah.
Kacang legum
Kacang kuda, dal dan kacang hitam kaya dengan asid lemak omega-3. Selain itu, ia memberikan khasiat kalsium dan serat larut.
Bayam
Bayam boleh membantu mengekalkan degupan jantung normal disebabkan khasiat lutein, folat, kalium dan serat.
Tapi apa jua sayuran dapat memberikan rangsangan pada jantung anda. Kajian Pakar Kesihatan memeriksa lebih 15,000 lelaki tanpa penyakit jantung selama 12 tahun dan mendapati mereka yang makan sekurang-kurangnya dua setengah hidangan sayuran setiap hari berupaya mengurangkan risiko penyakit jantung hampir 25 peratus, berbanding dengan mereka yang tidak mengambil sayuran.
Setiap hidangan tambahan pula mengurangkan risiko sehingga 17 peratus.
Soya
Soya dikatakan membantu mengurangkan kolesterol dan disebabkan ia rendah lemak tepu, ia sumber protein yang baik untuk kesihatan jantung.
Pilih sumber semula jadi soya seperti kacang edamame, tempe atau tauhu organik.
Susu soya pula adalah tambahan yang baik kepada semangkuk emping oat atau bijirin gandung.
Elakkan soya yang diproses kerana mengandungi garam tambahan yang boleh meningkatkan tekanan darah tinggi.